Media sosial Arsenal mengambil peluang daripada kemenangan 2-0 ke atas Manchester United awal pagi tadi untuk membalas ejekan Jesse Lingard.

Lingard, 26, yang diketepikan akibat kecederaan, telah memuat naik gambar dengan melabel Stadium Emirates sebagai gelanggang tarian berikutan kemenangan 3-1 The Red Devils dalam Piala FA di tempat lawan itu, Januari lalu.



Jaringan Granit Xhaka dan Pierre-Emerick Aubameyang awal pagi tadi menebus kekalahan The Gunners dan menyaksikan mereka merampas kedudukan United dalam perlumbaan merebut tempat keempat.

Kemenangan di laman sendiri itu juga mengakhiri rekod tanpa kalah Ole Gunnar Solskjaer dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak dilantik sebagai pengurus sementara Manchester United, Disember lalu, dan ia mendorong Arsenal untuk "menuntut semula" gelanggang tarian mereka itu.

Selain itu, gurauan nakal pemain England itu turut mengundang perhatian pemain Arsenal, termasuk Mesut Ozil, yang tampil memberi reaksi selepas kemenangan itu.