Arnautovic bakal berehat buat seketika

Oleh Staff Writer 6 Disember 2018 254
Arnautovic bakal berehat buat seketika
Penyerang West Ham United, Marko Arnautovic, akan terlepas aksi perayaan Liga Perdana Inggeris selepas mengumumkan bakal berehat buat sementara waktu.

Arnautovic terpaksa dibawa keluar di penghujung babak pertama ketika pasukannya menewaskan Cardiff City di laman sendiri kelmarin dan digantikan oleh Lucas Perez yang menjaringkan dua gol.

Pemain Austria itu dilihat memegang bahagian paha ketika keluar dan mengumumkan kecederaannya melalui laman media sosial selepas kemenangan itu.

"Terima kasih di atas segala pesanan anda," kata Arnautovic.

"Saya bakal berehat buat seketika tetapi akan melakukan segalanya untuk kembali lebih kuat dan pantas."

Arnautovic dikaitkan dengan perpindahan keluar daripada The Hammers tatkala abang serta ejen kepada pemain berusia 29 tahun itu, Daniel, menamakan Everton dan Chelsea sebagai prospek destinasi sambil Manchester United turut dilaporkan berminat.

Kemenangan 3-1 ke atas Cardiff menyaksikan West Ham meneruskan kecemerlangan setelah mengatasi Newcastle sebelum ini dan membolehkan pasukan bimbingan Mauricio Pellegrini itu naik ke tangga ke-12 liga.

West Ham bakal melayan kunjungan Crystal Palace, Sabtu ini, dan meneruskan aksi bertemu Fulham, Watford, Southampton dan Burnley sebelum tahun baru.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen