Anfield sukar untuk dilawati tapi kekalahan tidak akan jejas City -- Guardiola

Oleh Staff Writer 9 November 2019 3850
Anfield sukar untuk dilawati tapi kekalahan tidak akan jejas City -- Guardiola
Pep Guardiola menyifatkan Anfield sebagai stadium paling sukar di dunia untuk dilawati buat masa ini, namun menegaskan Manchester City tidak akan terkeluar daripada perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris sekiranya tewas kepada Liverpool awal pagi Isnin ini.

Laporan akhbar menjelang pertemuan dua pasukan di tangga teratas itu diwarnai dengan isu simulasi dan taktikal kekasaran walaupun pengurus City, Guardiola, dan rakan sejawatannya di The Reds, Jurgen Klopp, sudah mengeluarkan kenyataan untuk menghentikan isu itu.

Musim lalu, City mencuri empat mata daripada The Reds yang terbukti sudah mencukupi untuk mereka memintas Liverpool -- yang hanya tewas sekali dalam liga -- dan menjulang kejuaraan dengan kelebihan satu mata. 

Guardiola menyifatkan kejuaraan itu merupakan antara yang terhebat sepanjang kariernya dan mengakui kesukaran untuk beraksi di stadium itu, di mana Liverpool tidak pernah tewas sepanjang 45 perlawanan terakhir liga.

"Sebagai pengurus, saya sudah katakannya ketika kami memenangi liga musim lalu, mereka adalah pencabar terhebat yang saya pernah temui sepanjang karier saya.

"Ia merupakan pencapaian terbesar atau antara yang terbesar buat kelab ini.

"Ia masih kekal seperti itu.

"Mungkin buat masa ini, mereka adalah pasukan terkuat di dunia.

"Mereka pasukan yang luar biasa.

"Ia sudah pasti, sejarah mereka telah membuktikannya.

"Ia sesuatu yang luar biasa, saya fikir ia tentang kualiti pasukan mereka, kualiti pemain mereka, kualiti pengurus mereka.

"Saya fikir ia lebih daripada itu, ia mengenai pasukan itu dan senarionya (keadaan di Liverpool).

"Buat masa ini, (Anfield) antara yang paling sukar.

"Buat masa ini, ia adalah stadium paling sukar untuk dilawati di Eropah," katanya.

Liverpool, yang tidak pernah tewas, boleh melebarkan jurang dengan kelebihan sembilan mata ke atas City seandainya memenangi perlawanan di gelanggang mereka itu.

Namun, Guardiola menegaskan kekalahan dalam perlawanan itu tidak akan menjejaskan aspirasi pasukannya untuk mempertahankan kejuaraan.

"Sejujurnya saya tidak tahu, saya fikir ia tidak akan tamat pada November. Masih banyak perlawanan yang perlu dihadapi.

"Berdasarkan pengalaman saya dalam sukan, anda perlu bermain sehingga ke penghujung.

"Adakah kami akan memenangi Liga Juara-Juara? Itu adalah soalan kegemaran anda! Saya tidak tahu jawapannya.

"Mereka hanya tewas sekali musim lalu. Musim ini, mereka belum tewas, jadi saya fikir mereka tidak akan tewas banyak tetapi musim ini masih panjang," tambahnya.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen