Alonso: Terlalu awal ketepikan Chelsea daripada kejuaraan liga

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 238
Alonso: Terlalu awal ketepikan Chelsea daripada kejuaraan liga
Marcos Alonso berpendapat Chelsea masih belum terkeluar daripada persaingan merebut kejuaraan liga walaupun Manchester City memiliki kelebihan dengan jurang besar berbanding pasukan bimbingan Maurizio Sarri itu.

City selaku juara bertahan mencatat kemenangan 2-1 ke atas Watford, Selasa lalu, tatkala Chelsea dikejutkan dengan kekalahan di tangan Wolverhampton Wanderers 24 jam kemudian, sekali gus membuatkan City bertandang ke Stamford Bridge hujung minggu ini dengan kelebihan 10 mata.

Sarri berulang kali menegaskan dia tidak melihat pasukannya sebagai pencabar utama kejuaraan liga tetapi Alonso percaya masih terlalu awal untuk menafikan peluang mereka.

"Masih terlalu awal untuk bercakap tentangnya. Jika kami tewas dalam aksi awal pagi Ahad nanti, kami akan ketinggalan 13 mata dan ia melibatkan jurang besar tetapi kami harus berfikir, bersedia untuk perlawanan itu dan tidak melihat kepada kedudukan ketika ini," kata Alonso.

"Ia peluang terbaik untuk bangkit. Perlawanan akan menjadi menarik tatkala semua orang bermotivasi untuk bermain.

"Kami sangat kecewa selepas tewas tetapi harus kembali bekerja dan melipatgandakan usaha serta mula beraksi lebih bagus secara berpasukan," katanya.

Chelsea hanya menang satu daripada empat aksi di tempat lawan sebelum ini dan Alonso menegaskan sudah tiba masa untuk mengembalikan falsafah yang telah membolehkan mereka mencatat 12 aksi tanpa kalah di bawah bimbingan Sarri.

"Kami perlu lebih banyak beraksi sebagai satu pasukan. Ia sesuatu yang perlu kami kaji, cuba yang terbaik secepat mungkin.

"Kami tidak melakukannya dengan baik ketika ini. Lebih banyak aksi individu berbanding berpasukan, jadi kami perlu lebih bagus secara kolektif.

"Chelsea berpeluang untuk menang, kami mengawal permainan dan memulakan babak kedua dengan banyak peluang.

"Beberapa aksi terakhir menyaksikan kami tidak berpegang kepada corak permainan sepatutnya dan jika kami tidak layak mempamerkannya, kami kalah.

"Kami melalui tempoh sukar dan anda perlu bekerja keras, kekal bersatu dan kembali ke landasan kemenangan secepat mungkin," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen