Marcos Alonso mengakui "kesilapan bodohnya" dalam kekalahan 0-2 Chelsea kepada seteru London, Arsenal.

Chelsea dibolosi selepas hanya 14 minit perlawanan berlangsung yang menyaksikan Alexandre Lacazette menyumbat gol dari jarak dekat.

Laurent Koscielny menggandakan kedudukan meskipun tandukan yang cuba dilakukannya berakhir di bahunya.

Chelsea cuba melancarkan kebangkitan yang menyaksikan tandukan Alonso terkena tiang gol sebelum menguji Bernd Leno pada lewat permainan, namun Arsenal meraih kemenangan selesa.

Lantaran itu, Maurizio Sarri mengkritik pasukannya selepas perlawanan berkenaan sambil mempertikaikan motivasi pasukannya dan Alonso berasakan keputusan buruk itu berpunca daripada prestasi mereka sendiri.

"Kami membuat kesilapan bodoh," katanya kepada laman sesawang rasmi kelab itu. "Kami melancarkan provokasi yang membangkitkan keyakinan lawan dan mereka memberi kami tekanan ekoran kesilapan kami sendiri.

"Dalam separuh masa kedua, kami meningkatkan usaha tetapi ia sudah terlambat dan kami tidak dapat menjaringkan gol. Apabila anda kalah, anda belajar sesuatu.

"Kami perlu menganalisis perlawanan itu dan segera memperbaiki kelemahan dengan cepat kerana tiada masa lagi untuk berfikir.

"Kami akan mengharungi perlawanan dalam tempoh empat hari (menentang Tottenham dalam pertemuan kedua separuh akhir Piala Liga Inggeris (EFL), awal pagi Jumaat nanti.

"Ia peluang yang baik tetapi kami mensia-siakannya dan kini kami perlu bekerja lebih keras lagi untuk berada dalam kedudukan Liga Juara-Juara (UCL) dan memenangi perlawanan. Ia perlu dijadikan motivasi."