TOTTENHAM 1 WATFORD 1

Menjelang perlawanan menentang Watford di laman sendiri, Mauricio Pochettino telah menerima undangan makan malam yang dianjurkan barisan pemain Tottenham sebagai tanda sokongan mereka terhadapnya.


Pelawaan itu bukannya bermakna ia adalah hidangan terakhir bersama mereka, sebaliknya untuk membuktikan bahawa mereka tetap utuh sebagai sebuah pasukan yang bertekad untuk mengubah nasib buruk dalam permulaan kempen musim ini, kata pengurus itu.

Mereka mempamerkan kesungguhan ketika menentang The Hornets, malam tadi. Namun, ketumpulan di barisan hadapan membuatkan mereka sekadar seri 1-1 bagi menawarkan kesan positif untuk jangka masa panjang.

Selepas mengalami dua kekalahan buruk berturut-turut, perlawanan dengan Watford -- yang belum mencatat sebarang kemenangan -- seharusnya boleh menjadi pemangkin tetapi ia tidak menjadi kenyataan.

Malah, kecemerlangan penjaga gol pelawat, Ben Foster, dan pemain gantian, Kiko Femenia, hampir memastikan mereka meninggalkan Stadium Tottenham Hotspur dengan tiga mata.

Namun, penyerang, Dele Alli menyamakan kedudukan yang amat diperlukan oleh Spurs walaupun jaringan pada minit ke-86 itu perlu disahkan melalui video bantuan gol (VAR) selepas bola didakwa terkena lengan kirinya bagi memadamkan gol Abdoulaye Doucore pada minit keenam.

Begitupun, Alli percaya mereka akan kembali menemui rentak sedikit masa lagi.

"Kami sedar bahawa kami adalah pasukan berkelas dunia," katanya.

"Kami telah membuktikan kemampuan, cuma nasib tidak menyebelahi kami. Kami menyulitkan keadaan ketika bertemu Watford walaupun menguasai permainan.

"Adalah penting untuk mengubah keadaan ini. Kami sedar keupayaan yang dimiliki, cuma perlu membuktikannya di atas padang.

"Walaupun ini adalah kesempatan pertama saya dalam kesebelasan pasukan, namun secara keseluruhannya ia keputusan yang mengecewakan," katanya.

Penyerang itu juga mengakui berdebar apabila pengadil, Chris Kavanagh, cuba mendapatkan gambaran sebenar mengenai jaringan lewat permainan itu.

"Sudah tentu ia melegakan," tambah pemain berusia 23 tahun itu.

"Dua kali pengadil berhenti untuk mendapatkan kepastian. Kami tidak tahu mengapa.

"Saya begitu pasti bahawa bola tidak terkena tangan saya tetapi selepas itu, ia mula berlegar di fikiran sama ada terkena saya. Saya memang sudah cuba untuk mengelaknya untuk membolehkan saya membuat sepakan."