CRYSTAL PALACE 0 TOTTENHAM HOTSPUR 1

Penyerang Tottenham Hotspur, Dele Alli, dan pengurus, Mauricio Pochettino, melaungkan pujian buat penjaring gol kemenangan mereka, Juan Foyth, ketika pasukan itu menewaskan Crystal Palace 1-0 dalam saingan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.


Foyth sebelum ini melalui penampilan sulung yang sukar apabila dia mengakibatkan Spurs dikenakan dua sepakan penalti ketika menewaskan Wolverhampton Wanderers 3-2, minggu lalu.

Namun, Pochettino mengekalkan kepercayaannya terhadap Foyth yang kemudian dibalas dengan jaringan kemenangan oleh pemain muda itu di Selhurst Park.

Pochettino percaya gol daripada pertahanan berusia 20 tahun itu akan meningkatkan kepercayaan dirinya dan memberikan perasaan bahawa dia kini seorang pemain Liga Perdana Inggeris.

"Kami sudah memperkatakannya minggu lalu bahawa kesalahan Foyth itu sesuatu yang biasa dalam bola sepak," kata Pochettino kepada wartawan.

"Saya pernah menjadi seorang pertahanan tengah dan apabila terlibat dengan situasi sepeti itu, kepercayaan rakan sepasukan kekal tinggi.

"Dia mempunyai potensi yang besar dan memaparkan perwatakan sebenar.

"Amat penting untuk dia sedar bahawa dia seorang pemain Liga Perdana Inggeris.

"Dia sangat bijak. Situasi seperti itu sentiasa boleh berlaku. Dengan pengalaman yang ditimba dia akan lebih berwaspada di masa depan.

"Itu kebiasaannya berlaku kepada mereka yang berumur 29 atau 30 tahun.

"Dia akan melupakannya dan kami sedia membantu," tambahnya lagi.

Alli yang turut mengagumi prestasi pertahanan itu turut memuji perwatakan Foyth.

"Juan layak mendapat pujian.

"Dia amat menyesali insiden dua sepakan penalti kepada Wolves.

"Dia berusaha dengan keras dan hari ini dia menjaringkan gol kemenangan," katanya kepada BT Sport.

Palace menghadapi kelemahan dalam menyudahkan jaringan tanpa Wilfried Zaha yang cedera, namun pengendali pasukan, Roy Hodgson, tidak mahu menjadikannya sebagai alasan.

"Saya sedar apabila menyaksikan perlawanan itu.

"Kami tewas bukan disebabkan ketiadaan Wilfried.

"Sudah tentu ada kekosongan tanpanya, namun itu bukan puncanya kerana kami bermain di satu tahap berbeza," kata Hodgson.