Allardyce pertahan gaya permainan Everton

Oleh Staff Writer 24 April 2018 465
Allardyce pertahan gaya permainan Everton
EVERTON 1 NEWCASTLE 0

Sam Allardyce mempertahankan gaya permainan Everton yang berjaya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Newcastle United di Goodison Park, semalam


Theo Walcott menjaringkan gol tunggal sebaik perlawanan bermula dalam babak kedua dan ia terbukti sudah memadai buat The Toffees menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa kemenangan.

Mereka kini menghuni tangga kelapan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan mendahului Leicester City dengan satu mata.

Allardyce yang dikritik di atas persembahan Everton, tetap berpuas hati dengan kemenangan itu dan mendakwa lawan mereka yang lebih cenderung menggunakan taktikal permainan pasif.

"Apa silapnya dengan gaya permainan kami? Everton mendominasi permainan," katanya.

"Kami bersabar dan berjaya meraih kemenangan. Anda tidak boleh mengkritik permainan kami," tegasnya.

Newcastle pula terpaksa menerima kekalahan pertama dalam lima aksi dan terlepas peluang untuk memperbaiki kedudukan mereka.

Pengendali pasukan,Rafael Benitez, yang berkhidmat untuk perlawanan ke-100 bersama kelab, tidak bersetuju dengan penilaian Allardyce mengenai kemenangan Everton.

"Kami bermain dengan pasukan yang berkualiti. Gaya permainan mereka tidaklah terlalu menakjubkan tetapi mereka meraih kemenangan," kata Benitez.

"Kami mempunyai dua atau tiga peluang tetapi gagal menyempurnakannya.

"Saya berpuas hati dengan persembahan pemain-pemain. Sasaran kami adalah kekal dalam EPL dan kami telah berjaya melakukannya," katanya lagi.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen