Liverpool perlu memenangi semua aksi jika mereka mahu mengekalkan tempat di kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris, kata penjaga gol, Alisson.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu diikat 1-1 oleh West Ham kelmarin selepas Michail Antonio memadamkan jaringan Sadio Mane tatkala gol itu sepatutnya dibatalkan akibat ofsaid.

Klopp berang dengan keputusan pengadil sehingga menyebakan pengurus itu diminta oleh pihak Persatuan Bolasepak England (FA) untuk menjelaskan kenyataannya kepada media.

Dan Alisson memberitahu bahawa Liverpool perlu memulihkan fokus setelah terlepas peluang untuk melebarkan kelebihan lima mata ke atas juara bertahan, Manchester City, yang kini menduduki tangga kedua liga.

"Kami harus bersedia untuk bertarung," kata Alisson.

"Semua keadaan perlu dihadapi mengikut cara kami. Saya percaya pasukan kini berada di landasan terbaik. Kini, kami tidak boleh malu-malu. Jika anda mahu menjadi juara, anda perlu memenangi semua perlawanan."

Liverpool tidak dapat menurunkan semua pemain utama dalam aksi di Stadium London itu tatkala mereka dilanda masalah kecederaan melibatkan beberapa pemain, termasuk kapten, Jordan Henderson.

"Saya percaya kami agak goyah. Ia melibatkan beberapa aksi yang tidak begitu baik," tambah penjaga gol Brazil itu.

"Kami bermula di depan tetapi sebaik sahaja kami melakukan beberapa kesilapan dalam hantaran, saya rasa pasukan mula hilang keyakinan. Ia juga membuatkan lawan semakin yakin."

Keputusan 1-1 itu juga membuka ruang buat City untuk naik ke tangga teratas liga buat kali pertama sejak 15 Disember lalu sekiranya menewaskan Everton awal pagi esok.

Dan pemain tengah The Reds, Fabinho, menggesa seluruh pasukannya agar bangkit dalam aksi liga seterusnya di laman sendiri menentang Bournemouth.

"Kami harus yakin," ujar Fabinho.

"Kami menikmati aksi pada Disember kerana ia hampir sempurna, namun kini telah menurun.

"Sukar untuk menjelaskan apa yang berlaku. Saya percaya kebanyakan pasukan yang menentang kami kini akan beraksi secara bertahan. Kami perlu melakukannya secara berbeza kerana mungkin ketika ini kami tidak dapat mencari ruang.

"Kebiasaannya, kami masuk melalui tengah dan ia sukar ketika berdepan pasukan yang kuat secara fizikal dan bertahan. Kami perlu mencari jalan penyelesaian tatkala ia tidak berjaya dalam aksi sebelum ini.

"Kami mahu beraksi lebih baik, malangnya ia tidak berjaya. Kami tahu kualiti yang dimiliki pasukan dan jika berjaya melakukannya, kami akan kekal di puncak liga.

"Sememangnya lebih mudah untuk saya bercakap, jadi kami harus mencubanya dalam sesi latihan. Secara peribadi, saya tidak risau. Namun, kami sedar kami harus memberikan segalanya dalam perlawanan seterusnya."