Trent Alexander-Arnold berkata dia akan menyertai sebahagian penyokong Liverpool yang akan menyokong Manchester United dalam perlawanan "derby" dengan Manchester City di Old Trafford, awal pagi esok.

Skuad kendalian Pep Guardiola, City, akan memanfaatkan kelebihan satu perlawanan dalam tangan ketika berdepan United dengan kemenangan dalam perlawanan itu akan memastikan mereka memintas Liverpool dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini.

City memenangi 10 perlawanan liga berturut-turut, namun skuad kendalian Jurgen Klopp, Liverpool, sentiasa memberikan tekanan terhadap juara bertahan itu dengan tidak pernah tewas sejak aksi di Stadium Etihad, 3 Januari lalu.

Bekas pemain tengah City, James Milner, berkata dia tidak akan menyaksikan perlawanan itu kerana ia hanya "membazirkan tenaga", namun berharap bekas pasukannya itu akan keciciran mata.

Rakan sepasukan Alexander-Arnold dalam skuad kebangsaan England, Marcus Rashford dan Jesse Lingard, berupaya untuk membantu Liverpool memenangi kejuaraan pertama sejak era Liga Perdana.

Walaupun kebanyakan penyokong The Reds agak janggal untuk mengharapkan kemenangan United, pemain kelahiran Liverpool, Alexander-Arnold, berasakan ia hanyalah harga yang rendah untuk dibayar.

"Ia agak lucu. Dalam keadaan seperti ini, adakalanya anda perlu menyokong seseorang yang anda tidak suka.

"Ia bukan rahsia. Demi impian dan sasaran, kami memerlukan bantuan daripada pasukan lain.

"Sabtu lalu, kami menyokong Spurs untuk menewaskan City dan Rabu ini, kebanyakan penyokong Liverpool pasti mahu United meraih kemenangan.

"Tanpa perlu berkata apa-apa, mereka (Rashford dan Lingard) tahu mereka akan memberikan bantuan besar kepada kami andai memperoleh sesuatu dalam perlawanan itu.

"Dengan usaha yang dilakukan mereka bagi menamatkan musim dalam kelompok empat teratas, mereka perlu meraih kemenangan.

"Saya pasti keputusan perlawanan akan memihak mereka.

"Saya berkemungkinan besar akan menyaksikannya.

"Saya tidak pasti sama ada terdapat perlawanan lain yang turut berlangsung, namun saya akan menyaksikannya.

"Saya amat teruja, namun anda tidak boleh terlalu berharap City akan tewas," katanya.