Jurgen Klopp percaya bahawa aksi suku akhir Liga Juara-Juara Eropah membabitkan Liverpool dan Manchester City merupakan idaman bagi setiap penyokong Manchester United.

United dikejutkan dengan kekalahan di tangan Sevilla di Old Trafford pada Rabu lalu, sekali gus tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Liverpool layak ke kelompok lapan terbaik selepas melepasi halangan Porto sementara City menundukkan Basel dan kedua-dua pasukan telah diundi bertemu di peringkat suku akhir.

Liverpool adalah satu-satunya pasukan yang telah menewaskan skuad bimbingan Pep Guardiola itu dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim ini, dalam pertemuan yang berakhir 4-3 di Anfield, namun Klopp menyifatkan fokusnya kini hanya untuk aksi berdepan Watford.

“Saya tidak menjangkakan apa-apa dan langsung tidak meletakkan sebarang harapan,” kata Klopp.

“Saya tidak rasa pertemuan dengan lawan dari negara yang sama merupakan sesuatu yang bagus untuk pasukan anda tetapi ia tetap berlaku.

“Ia pastinya menjadi idaman buat semua penyokong Manchester United.

“Saya tidak kisah kerana masih ada masa untuk melakukan persiapan. Walaupun saya sedar ia bakal memberikan cabaran yang sukar, namun dalam masa sama ia menjadi berita baik kerana City juga akan berdepan halangan besar.

“Saya melihat wajah Txiki Begiristain (pengarah bolasepak City) tidak begitu gembira ketika undian dilakukan. Ia adalah suku akhir di Eropah, jadi tentunya ia bukan sesuatu yang mudah.

“Buat masa sekarang, saya hanya fokus terhadap aksi menentang Watford,” tambahnya.