Sergio Aguero terlepas daripada mengalami sebarang kecederaan selepas keretanya terlibat dalam kemalangan kecil ketika dalam perjalanan ke tempat latihan Manchester City semalam, demikian lapor Omnisport.

Aguero, 31, tidak memerlukan sebarang rawatan dan mampu berlatih seperti biasa sebagai persiapan menghadapi Crystal Palace dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi Ahad ini.

Dia menyiarkan satu gambar di akaun media sosialnya yang menunjukkan kerosakan yang dialami kereta Range Rover yang dipandunya dalam kejadian itu.

Imej berkenaan memaparkan kereta penyerang Argentina itu dengan tayar di sebelah pemandu hancur selain keremukan di bahagian berhampiran bampar berkenaan.

Aguero turut menulis kapsyen: "Pagi yang hebat".

Dia, yang tidak terlibat dengan jadual antarabangsa kali ini, telah meledak lapan jaringan liga musim ini bagi menyamai jumlah sama yang dilakukan penyerang muda Chelsea, Tammy Abraham.