Sergio Aguero bakal terlepas aksi menentang Tottenham Hotspur awal pagi esok selepas berkorban ketika bertemu Liverpool dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Aguero, yang berehat selama sebulan sehingga aksi menentang Manchester United minggu lalu, masuk sebagai pemain gantian hanya untuk menerima terjahan keras Ashley Young dalam insiden yang menyaksikan pengadil, Martin Atkinson, menafikan sepakan penalti buat Manchester City.

Pengurus City, Pep Guardiola, mendedahkan penyerang Argentina itu tidak dapat berlatih selepas insiden itu tetapi memaksa dirinya dalam usaha untuk membantu pasukan dalam 24 minit terakhir ketika menentang Liverpool di Etihad.

“Aguero cedera sebelum perlawanan dan sebab itu dia tiada dalam kesebelasan utama. Dia masih belum bersedia sepenuhnya,” kata Guardiola.

“Saya tidak pasti sampai bila dia perlu berehat. Kami tidak akan melupakan dia terpaksa diketepikan selama sebulan.

“Dia melakukan pengorbanan besar kerana selepas insiden diterjah Young, Aguero mengalami masalah dengan lututnya. Dia beraksi dalam 15 atau 20 minit terakhir tetapi selepas itu memberitahu bahawa dia tidak dapat berlari dan bermain.

“Saya tidak pasti sama ada dia mampu kembali ketika bertemu Swansea City (selepas aksi dengan Spurs) tetapi diharapkan dia cergas untuk aksi terakhir dan paling penting, beraksi dalam Piala Dunia.”

Guardiola juga menjangkakan cabaran yang sukar apabila menentang Spurs selepas mengharungi tiga kekalahan berturut-turut dalam semua kejohanan.

“Mereka adalah pasukan yang bagus dengan pemain-pemain yang hebat. Berbekalkan pemain yang berbakat seperti Moussa Dembele, Dele Alli, Christian Eriksen dan Son Heung-Min, mereka sering memberikan tekanan tinggi, terutama menerusi penjaring terbanyak mereka, Harry Kane.

“Dalam dua atau tiga musim terakhir, mereka menampilkan aksi hebat dan kini berada dalam separuh akhir Piala FA. Ia bakal menjadi aksi sukar buat kami.”