Bintang Manchester City, Sergio Aguero, kini menyamai rekod penjaring hatrik terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris milik Alan Shearer ketika membantu pasukannya menewaskan Chelsea 6-0 di Stadium Etihad, awal pagi tadi.

Penyerang Argentina itu meledak dua gol dalam babak pertama sebelum melengkapkan jaringan hatrik dalam babak berikutnya untuk meletakkan City 5-0 di depan.

Kejayaan itu meletakkannya setaraf dengan bekas penyerang Southampton, Blackburn Rovers dan Newcastle United, Shearer.

Aguero, yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman City, menjadi pemain keenam Liga Perdana yang terlibat dalam 200 gol bersama satu pasukan.

Dia turut mengatasi Tommy Johnson dan Eric Brook untuk menjadi pemain paling prolifik buat pasukan itu dalam saingan liga.

Pemain berusia 30 tahun itu memaparkan aksi dominan ketika menidakkan cabaran Chelsea dengan menjaringkan hatrik keduanya dalam tempoh seminggu selepas melakukan perkara yang sama ke atas Arsenal, tujuh hari lalu.

Robbie Fowler kini berada di kedudukan ketiga penjaring hatrik terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana selepas melakukannya sebanyak sembilan kali manakala penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane (lapan), merupakan satu-satunya pemain yang masih aktif dalam liga itu yang menjaringkan hatrik lebih daripada tiga kali.

Michael Owen dan Thierry Henry manamatkan karier mereka dengan lapan hatrik setiap seorang, lebih satu berbanding Wayne Rooney (tujuh) dan dua mengatasi Luis Suerez (enam) ketika penyerang itu berkhidmat bersama Liverpool.