Sergio Aguero menyasarkan trofi Liga Juara-Juara (UCL) bersama Manchester City musim depan.

City dinobatkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin hasil kemenangan 4-1 ke atas Brighton & Hove Albion sambil Aguero menjaringkan gol penyamaan penting sejurus Glenn Murray memberikan The Seagulls gol pendahuluan.

Dalam kempen UCL musim ini, skuad kendalian Pep Guardiola itu disingkirkan Tottenham di peringkat suku akhir dalam satu perlawanan dramatik yang menyaksikan Raheem Sterling menyumbat gol kemenangan pada penghujung perlawanan tetapi video bantuan pengadil (VAR) menghukum Aguero yang didapati di kedudukan ofsaid dalam gerakan gol tersebut.

"Jelas sekali matlamat utama kami pada tahun ini juga adalah untuk terus berjuang dalam UCL tetapi perkara-perkara seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak," kata Aguero kepada pemberita.

"Kami tersingkir dengan jurang yang kecil akibat siku yang didapati ofsaid. Namun, musim depan, kami akan cuba untuk berjuang sehingga ke perlawanan akhir," ujarnya.

Tambah Aguero, golnya ke atas Brighton cukup penting bagi menenangkan gemuruh City.

"Sudah tentu masih banyak baki masa permainan (sejurus jaringan Murray) dan mujurlah gol itu hadir dengan pantas," katanya lagi.

"Tetapi apabila anda ketinggalan 0-1, fikiran anda agak berserabut dan sedikit gugup.

"Begitupun, gol yang saya hasilkan adalah penting kerana jika separuh masa pertama berakhir dengan kami ketinggalan 0-1, maka situasi akan menjadi rumit tetapi kami bernasib baik."