Sergio Aguero berada di landasan terbaik untuk mewakili Argentina di pentas Piala Dunia 2018 selepas pengurus Manchester City, Pep Guardiola, mengesahkan proses pemulihan penyerangnya itu berjalan lancar susulan pembedahan kecil di lutut.

Aguero menjalani pembedahan lutut kanannya selepas meraih kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang ketiga buat dirinya sambil menjaringkan 30 gol dalam semua kejohanan pada musim ini.

Pemain berusia 29 tahun itu bakal menjadi antara pertaruhan utama pengurus Argentina, Jorge Sampaoli, dalam usaha menjulang trofi Piala Dunia bersama kawan baiknya, Lionel Messi.

Bercakap ketika sidang media menjelang aksi liga menentang Huddersfield Town, Guardiola mengesahkan perkembangan positif yang diraih menerusi doktor yang bertanggungjawab di atas pembedahan Aguero di Barcelona, Dr Ramon Cugat.

“Ya, dia akan pulih (untuk Piala Dunia),” kata Guardiola.

“Saya telah diberitahu oleh Dr Cugat di Barcelona bahawa proses pemulihannya berjalan lancar,” katanya.

Rakan sepasukan Aguero, Nicolas Otamendi, turut menyertai bekas penyerang Atletico Madrid itu untuk membarisi pasukan terbaik tahunan pilihan Persekutuan Bolasepak Profesional (PFA) dan dijangka memperkuatkan cabaran Argentina di Russia.

Guardiola sebelum ini beberapa kali menegaskan bahawa Otamendi merupakan tunjang utama pasukannya pada musim ini dan percaya pemain berusia 30 tahun itu akan menjadi aset utama buat Sampaoli.

“Ya, sudah tentu Otamendi seorang ketua. Tidak kira dia menunjukkannya ketika bersama Argentina atau tidak, dia tetap seorang ketua.

“Otamendi adalah seorang pemain yang tidak perlu dijelaskan lebih lanjut untuk membuktikan kehebatannya. Dia juga adalah pemain yang tidak akan mengecewakan anda.

“Tidak syak lagi bahawa dia adalah antara individu yang bertanggungjawab di atas kecemerlangan kami pada musim ini. Dia sentiasa ada walaupun sewaktu cedera dan saya mengucapkan selamat berjaya untuknya dalam Piala Dunia,” tambah Guardiola.