BOURNEMOUTH 2 NEWCASTLE UNITED 2

Pengurus Newcastle, Rafael Benitez, kesal kegagalan barisan pemainnya memanfaatkan peluang selain membazirkan kelebihan dua gol untuk seri 2-2 dengan Bournemouth di Stadium Vitality, malam tadi.


The Magpies kelihatan hampir mencapai kemenangan Liga Perdana selepas Dwight Gayle dua kali menewaskan penjaga gol, Asmir Begovic.

Bournemouth didesak untuk bangkit dan mula mendapat rentak secara tiba-tiba susulan usaha jarak jauh Adam Smith menuju 10 minit terakhir.

Kedudukan kembali seimbang pada minit ke-89 apabila bekas pemain tengah Newcastle, Dan Gosling, menyempurnakan umpanan Nathan Ake.

Jonjo Shelvey mensia-siakan peluang keemasan untuk meraih kemenangan dari jarak dekat sebelum kebangkitan The Cherries itu, justeru mengecewakan Benitez.

"Sukar untuk menerima hakikat bahawa pasukan yang melancarkan asakan hebat di laman sendiri dan memiliki peluang terhidang, namun gagal memanfaatkannya. Kami perlu memperbaikinya," kata Benitez.

"Kami mengawal permainan dan mempunyai idea jelas tentang bagaimana untuk melakukan sesuatu.

"Mereka tidak mempunyai banyak peluang, boleh dikatakan peluang yang dipersiakan (Shelvey) serta gol pertama lawan mengubah permainan, sejak itu kami kehilangan dua mata," katanya.

Pengurus Bournemouth, Eddie Howe, mengakui pasukannya gagal menampilkan aksi baik sehinggalah minit ke-80 muncul, namun tetap menghamburkan pujian terhadap barisan pemainnya yang mengharungi satu perlawanan yang mendebarkan.

"Kami mempamerkan aksi hambar dan Newcastle menyukarkan kami. Begitupun, saya tetap perlu memuji usaha pemain dalam 10 minit terakhir," katanya kepada BBC Sport.

"Itulah yang kami mahukan, menunjukkan banyak kualiti dan karakter untuk bangkit.

"Kami bermula dengan baik tetapi mengakui melepaskan gol pertama yang mudah, begitu juga dengan gol kedua. Kedua-duanya sangat menyakitkan dan sukar untuk bangkit.

"Ini satu lagi perkara yang mendorong kami menentukan hala tuju sebenar -- setiap orang boleh menjadi penting pada akhir musim."