Atlit wushu wanita negara, Audrey Chan Yee Jo, menyifatkan latihan lebih lima jam sehari yang diterapkan oleh jurulatihnya, Lim Yew Fai, berbaloi meskipun meraih gangsa dalam acara taijijian Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Dewan 5, Pusat Konvesyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Untuk satu ketika, Audrey berada dalam kedudukan terbaik apabila meraih 9.64 mata di belakang peserta Filipina, Agatha Fernandez Wong, yang mencatat 9.65 mata.

Namun, apabila peserta Indonesia, Lindswell Kwok, membuat penampilan, dia mencatat keputusan 9.68 mata, sekaligus menyaksikan wakil Malaysia itu sekadar berpuas hati merangkul gangsa.

Audrey tetap berasakan semua usahanya sejak setahun yang lalu berbaloi selepas menjalani latihan keras, terutama ketika latihan pusat di China.

"Kerja keras saya akhirnya membuahkan hasil.

"Saya menghabiskan masa selama tiga bulan di China untuk bekerja keras sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA.

"Saya sangat berpuas hati," kata Audrey.

Turut menyumbang gangsa adalah Ho Mun Hua yang beraksi dalam acara nangun dan nandao selepas mencatat markah keseluruhan 19.3 mata.

"Saya tidak menetapkan sebarang sasaran tetapi telah mencurahkan aksi terbaik dalam temasya ini," ujarnya.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.