Atlet wushu wanita negara, Diana Bong, mengesahkan status sebagai ratu wushu negara selepas mengutip emas ketiga peribadi menerusi acara nanquan dalam saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 di Dewan 5, Menara Berkembar Petronas (KLCC), sebentar tadi.

Dia berjaya menduduki tempat pertama pada tahun 2009 dan 2013, namun tidak berjaya mempertahankan takhta itu di Singapura, dua tahun lalu.

Dalam saingan nanquan hari ini, atlet berusia 32 tahun itu mencatat 9.66 mata, mengatasi peserta Myanmar, Myint Aye, yang meraih 9.64 mata serta Nguyen Thuc dari Vietnam, 9.63 mata.

"Saya memberikan fokus 200 peratus.

"Semasa dalam gelanggang, saya anggap semua orang tidak muncul dan kamu semua hanya ada dalam hati saya sahaja.

"Jadi, saya sangat fokus ketika beraksi," katanya.

Kejayaan Diana menyaksikan Malaysia berjaya meraih tiga emas dan tiga perak dalam acara wushu dan masih berpeluang untuk menambahnya esok.