Jurulatih tinju negara, Azmi Md Yunus, mahu anak buahnya 'melanggar' sesiapa pun lawan mereka setelah tiga daripada enam peninju negara terpaksa berdepan bekas juara remaja dunia, peserta Olimpik dan pemenang pingat emas Sukan SEA dalam peringkat awal acara tinju Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

"Undian hari ini tidak menyebelahi kami kerana peninju negara akan berdepan lawan yang menghuni kedudukan 10 terbaik.

"Fuad akan berdepan peninju Filipina yang merupakan juara remaja dunia sementara Arfiqanie Ahmad Anshor akan bertemu wakil Thailand yang pernah bersaing dalam sukan Olimpik, Chatcha Budee.

"Indran Rama Krishnan memiliki peluang lebih cerah apabila bertemu wakil Timor Leste dan sekiranya menang, dia berdepan kesukaran kerana selepas itu kerana bakal bertemu wakil Filipina yang pernah memenangi pingat emas Sukan SEA," jelas Azmi.

Sementara itu, Azmi turut melihat Khir Akyazlan Azmi akan berdepan laluan yang lebih mudah.

"Adli (Hafidz Pauzi), kalau berjaya melepasi halangan Vietnam, laluannya lebih mudah. Apapun, peninju kita bersedia dan akan berbuat yang terbaik

"Ilmu yang dicurahkan perlu dilaksanakan dengan bijak dan membiasakan dengan suasana gelanggang," tambah Azmi.

Kali terakhir tinju memenangi emas dalam Sukan SEA adalah pada 2009 apabila Farkhan Haron (75kg) dan Fairus Awan Abdullah (81kg) melakar kejutan muncul pemenang pingat emas di Laos.

Berikut senarai undian penuh pentinju yang akan merebut enam pingat emas yang ditawarkan bermula 20 Ogos ini di MITEC:

1. Light Fly (49kg)
Fuad Redzuan lwn Carlo Paalam (Filipina) - Dapat 'bye' pusingan awal terus ke suku akhir

2. Fly (52kg)
Abdul Salam Kasim lwn Ian Clark Bautista (Filipina) - terus ke suku akhir

3. Bantam (56kg)
Arfiqanie Ahmad Anshori lwn Chatchai Butdee (Thailand) - pusingan awal

4. Light Welter (64kg)
Khir Akyaazlan Azmi lwn Charly Suarwz (Filipina) - Dapat 'bye' pusingan awal terus ke suku akhir

5. Middle (75kg)
R. Indran lwn Henrique Martins Perera (Timor Leste) - terus ke suku akhir

6. Light Heavy (81kg)
Adli Hafidz Pauzi lwn Vo Van Que (Vietnam) - terus ke suku akhir