Pemenang pingat emas acara 10 meter platform lelaki Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ooi Tze Liang, menyifatkan kejayaannya itu merupakan pingat terakhirnya bagi acara itu kerana ingin memberikan sepenuh perhatian kepada acara papan anjal sahaja selepas ini.

Ia merupakan keputusan bersama ketua jurulatih terjun negara, Yang Xhuliang, khususnya untuk persediaan menghadapi Sukan Komanwel dan Sukan Asia tahun depan.

"Saya berasa sangat baik dan berpuas hati dengan prestasi saya. Selepas ini, saya akan memberikan fokus kepada saingan papan anjal," katanya.

Sementara itu, Zhuliang menjelaskan sebab mengapa dia melakukan pertukaran Jasmine Lai menggantikan Nur Dhabitah Sabri pada saat-saat akhir dalam acara 1m papan anjal kerana ingin memberikan masa kepada Dhabitah untuk berehat.

Ia kerana penerjun berusia 18 tahun itu mengalami kecederaan belakang sewaktu sesi latihan semalam dan masih memerlukan rawatan terperinci.

Bagaimanapun, Zhuliang menganggap kecederaan itu tidak terlalu serius dan Dhabitah masih mampu untuk beraksi bagi acara 3m papan anjal seirama Selasa ini.

"Dhabitah mengalami kecederaan dalam sesi latihan semalam, jadi kami terpaksa membuat pertukaran pada minit terakhir," ujar Zhuliang.


Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.