Skuad terjun negara menambah jumlah pingat emas buat Malaysia selepas Cheong Jun Hoong mengungguli acara 1 meter papan anjal wanita di Pusat Akuatik Nasional, sebentar tadi.

Jun Hoong menghimpun 268.55 mata keseluruhan untuk meraih emas setelah menewaskan pencabar yang juga rakan senegara, Jasmine Lai Pui Yee.

Atlet Perak berusia 22 tahun itu tersenarai dalam saingan hari ini bagi menggantikan tempat Nur Dhabitah Sabri yang mengalami kecederaan, semalam.

Jasmine mengutip 233.00 mata untuk berada di tempat kedua, diikuti oleh penerjuni Vietnam, Ngo Phuong Mai, yang mengutip 207.80 mata.

"Ini sahaja acara yang saya ambil bahagian jadi saya sedikit tertekan. Tetapi saya melakukannya dengan agak baik. Mungkin saya boleh mengambil masa untuk berehat buat masa ini," ujar Jun Hoong.

"Saya agak gembira dengan persemabahan saya kerana sudah berlatih lama.

"Saya rasa saya mampu lakukan aksi yang lebih baik daripada hari ini namun saya tetap berpuas hati," kata Jasmine.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.