Ahmad Amsyar Azman dan Chew Yiwei menghadiahkan pingat emas ke-10 daripada skuad terjun dalam Sukan SEA Ke-29 di Pusat Akuatik Nasional, KL Sports City, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Dalam saingan 3m papan anjal seirama itu, pasangan Malaysia itu mengumpul 399.15 mata untuk mengungguli senarai negara bertanding yang disertai Singapura dan Indonesia.

"Saya sangat bersyukur kerana meraih dua pingat emas dan satu pingat perak dalam temasya ini. Kejayaan ini memberikan motivasi untuk membuat persiapan bagi menghadapi Sukan Asia dan Sukan Komanwel tahun hadapan.

"Pada pendapat saya, sasaran yang diletakkan kepada kami untuk meraih emas dalam setiap acara yang dipertandingkan telah dicapai," kata Amsyar.

Sementara itu, Yiwei berkata: "Pasangan daripada Singapura telah memberikan saingan kepada kami. Tetapi kami berjaya mengekalkan rentak sehingga terjunan terakhir untuk meraih emas."

Mark Lee Han Ming dan Timothy Lee Han Kuan dari Singapura menduduki tempat kedua untuk meraih perak selepas menghimpun 368.73 mata.

Sementara itu, Indonesia yang dibarisi Adityo Restu Putra dan Tri Anggoro meraih gangsa dengan 326.40 mata.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.