Sebelum merealiasikan impian menjadi pakar bedah, Aslina Chua mempunyai misi peribadi untuk menawan hati peminat tenis Malaysia menerusi aksi cemerlang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Aslina, yang menetap di Amerika Syarikat (AS), mengimbangi kerjaya sebagai pemain profesional dan pengajian program pra-perubatan di Universiti Michigan State.

Jadual padat menjadi lumrah dalam hidup Aslina tetapi panggilan untuk mewakili Malaysia sesuatu yang sukar dilepaskannya.

"Semua sukan mengajar anda untuk bagaimana berdepan dengan orang ramai, misalnya penonton dan jurulatih serta tekanan.

"Menjadi atlet adalah tugas dengan masyarakat. Sukan tenis membantu saya menjadi seorang doktor yang baik," katanya.

Atlet yang menjadi kebanggaan Sarawak ini berasakan adalah sesuatu yang istimewa beraksi dalam Sukan SEA ketika Malaysia menjadi tuan rumah bersandarkan semangat bangkit bersama.

Lima tahun berpangkalan di AS banyak mengubah perspektif Aslina terhadap sukan tenis.

Sekalipun akur dengan tuntutan untuk memenangi pingat, dia mahu mempamerkan aksi bertaraf Grand Slam apabila turun dalam aksi perseorangan dan beregu campuran dalam temasya KL2017.

"Dalam sukan tenis, tidak kira anda bermain di peringkat apa pun, anda sentiasa berasakan mewakili negara.

"Bermain di tempat sendiri, saya pasti ia cukup istimewa dan mempunyai kelebihan. Saya berasakan ia benar-benar menyatukan kita semua," tambahnya.

Tenis Sukan SEA yang menawarkan lima pingat emas dilangsungkan di Kompleks Tenis Jalan Duta dari 21 hingga 26 Ogos ini.