Atlet taekwondo negara, Rozaimi Razali, merangkul pingat emas acara kyorugi lelaki bawah 68kg dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.

Aksi penentuan bagi pingat emas itu berlangsung penuh dramatik apabila pengadil memberikan kemenangan mutlak kepada Rozaimi ke atas Arven Alcantara dari Filipina walaupun mata terikat 17-17.

Kemenangan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Filipina yang bingung mengenai situasi itu, namun tidak melakukan protes.
"Pertarungan agak sengit, Alhamdulilah dia melakukan kesilapan sehingga aksinya dibatalkan," kata Rozaimi.

"Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada ayah dan mak saya yang datang dari jauh untuk menyokong saya.

"Terima kasih kepada jurulatih saya, Kim Hong Goon, juga taekwondo Malaysia dan semua yang banyak memberi semangat kepada saya."

Sementara itu, P. Thinagaran berkongsi pingat gangsa dengan wakil Vietnam, Ly Hong Phuc, selepas gagal ke final acara kyorugi lelaki bawah 74kg.

Thinagaran tewas 1-0 pada pada set penentuan kepada wakil Indonesia, Dinggo Ardian Prayogo, selepas kedua-duanya terikat mata 9-9.

Nur Intan Zulaikha Mohd Firdaus turut meraih gangsa selepas gagal ke final dalam acara kyurogi wanita bawah 62kg.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.

Kredit imej: MASOC