Dua atlet taekwondo negara gagal mara ke separuh akhir Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas tewas kepada lawan masing-masing, sebentar tadi.

Atlet taekwondo lelaki negara, K. Navin, turun dalam kategori bawah 54 kilogram menentang lawan dari Vietnam, Vo Quoc Hung.

Pada awal pusingan, Navin berjaya menyaingi Quoc Hung untuk mengikat mata 2-2.

Namun, lawannya dari Vietnam itu mempamerkan aksi lebih agresif selepas itu dengan melancarkan serangan sehingga Navin gagal memberi serangan balas.

Ia menyaksikan Quoc Hung mengutip mata demi mata untuk jauh meninggalkan Navin dan walaupun dia cuba untuk lebih banyak menyerang, sudah terlewat untuk dia menafikan kemenangan lawannya itu dengan keputusan 27-16.

Seorang lagi atlet taekwondo negara, Lian Pei Ying, juga gagal melepasi saingan suku akhir selepas turun dalam kategori wanita bawah 46 kg ketika berdepan lawan dari Thailand, Julanan Khantikulanon.

Jelas sekali, sekalipun cuba memberi tentangan, namun Pei Ying bukan tandingan Julanan.

Sebaik permulaan lagi, Julanan terus menyerang dan gagal dibalas Pei Ying.

Mata demi mata mudah dikutip Julanan yang menamatkan saingan dengan jurang mata yang besar 32-7.