Jurulatih skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, mengakui pertemuan menentang Brunei dua tahun lalu perlu dijadikan iktibar buat anak buahnya berdepan lawan sama esok, untuk memastikan permulaan garang dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Skuad muda negara sekali lagi berdepan Brunei dalam aksi peringkat kumpulan Sukan SEA selepas edisi di Singapura dua tahun lalu.

Dalam Sukan SEA 2015, anak buah Kim Swee bergelut meraih tiga mata penuh apabila terpaksa menunggu sehingga 20 minit terakhir perlawanan untuk mendapat gol sebelum menang 2-0.

Kim Swee tidak menafikan perkara sama akan berulang jika pemainnya memandang mudah pertemuan esok, lantas beliau menuntut komitmen tinggi ditunjukkan oleh pemain-pemain untuk mencapai kemenangan selesa dalam aksi pertama Kumpulan A.

"Seperti yang saya katakan, ia tidak mudah. Anda tahu dalam edisi lalu, kami berhempas-pulas untuk menewaskan Brunei.

"Saya percaya mereka bersedia dengan lebih baik kali ini. Sudah tentu kami perlu fokus. Saya percaya kalau kami fokus esok, kami mampu menewaskan mereka," katanya.

Sementara itu, Brunei yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Kwon Oh Son, tampak cukup bersedia untuk mengharungi temasya KL2017 menerusi persiapan rapi sejak awal tahun ini.

Ditunjangi pemain yang berpangkalan di Eropah, Faiq Jefri Bolkiah, Brunei bertekad menghadirkan tentangan sengit dalam usaha melakar kejutan ke atas Malaysia.

"Berdasarkan persiapan pasukan, saya yakin pemain mampu memberikan tentangan dan tidak memberikan laluan mudah kepada Malaysia," kata Oh Son.