Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS), Datuk Dr. Ramlan Aziz, akur dengan campur tangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) dalam kes Sukan SEA Kuala Lumpur, biarpun ia akan mendedahkan lebih ramai lagi atlet yang dikesan positif dalam temasya Ogos lalu.

WADA mengarahkan makmal ujian doping di New Delhi, India, supaya menguji dua sampel yang mencurigakan.

Ia sampel yang lulus ujian awal namun terdapat unsur mencurigakan menerusi Sistem Pengurusan dan Pentadbiran Anti-Doping (ADAMS).

"Kami sokong dan akur dengan segala permintaan dan arahan WADA supaya isu membanteras doping ini betul-betul berkesan selepas ini," kata Ramlan.

Turut sependapat, Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi, dengan berkata: "WADA agak serius mengenai perkara ini, begitu juga dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MOM."

WADA berhak mengarahkan ujian spesifik dijalankan terhadap mana-mana sampel air kencing atlet seperti yang dilakukan terhadap Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Sebanyak 804 sampel air kencing dan 32 sampel diarah diuji dalam temasya KL2017.

Setakat ini, tiga sampel dikesan positif termasuk penerjun negara dan mereka sedang menunggu keputusan sampel B.

"Apa-apa perkara yang ditetapkan WADA harus diikuti dan kami amat berdukacita dengan apa yang berlaku," kata Ketua Pegawai Eksekutif Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA 2017 (MASOC), Datuk Seri Zolkples Embong.

Persekutuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menerusi Setiausaha Kehormat, Shamsul Deran, pula berkata: "Atlet saya tidak menggunakan bahan terlarang. Apa-apa ubat yang dimakan, mereka akan rujuk kepada Institut Sukan Negara (ISN).

"Oleh itu, tidak wujud mereka mengambil barang larangan."