Rata-rata atlet yang hadir di upacara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 malam tadi, menyifatkan ia adalah antara upacara penutup paling gemilang yang pernah mereka saksikan setakat ini.

Bagi penyerang hoki negara, Faizal Saari, yang pernah bersama kontinjen negara dalam beberapa temasya sukan utama, upacara penutup semalam cukup meriah berbanding temasya lain.

Upacara penutup kali ini juga lebih bermakna kerana seperti upacara penutup edisi 1989 di Kuala Lumpur, ia turut dilangsungkan bagi menyambut hari kemerdekaan negara.

Faizal turut membawa keluarganya bagi menyaksikan upacara penutup yang bersejarah kali ini.

"Untuk pertama kalinya saya melihat penutup yang meriah. Saya sangat berbangga dengan pencapaian Malaysia dalam edisi kali ini," kata Faizal.

Nada sama turut disuarakan atlet olahraga para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli, yang turut melakar sejarah sebagai atlet Paralimpik pertama beraksi di temasya Sukan SEA.

Ziyad yang meraih gangsa dalam acara lontar peluru, juga menyuarakan rasa bangga menjadi sebahagian daripada kontinjen negara yang muncul juara keseluruhan dengan 145 pingat emas.

"Rakan-rakan sepasukan telah membuat yang terbaik untuk meraih kejayaan muncul juara keseluruhan. Ini merupakan satu kenangan yang akan sentiasa diingati untuk saya," kata Ziyad.