THAILAND 1 INDONESIA 1

Skuad bola sepak lelaki Thailand terpaksa berkongsi mata apabila seri 1-1 dengan Indonesia dalam aksi pembukaan Kumpulan B, sebentar tadi.


Pemenang pingat emas dua tahun berturut-turut, Thailand, turun dengan misi mencari tiga mata di Stadium Shah Alam.

Mereka berjaya mendahului perlawanan seawal minit ke-17 menerusi penyerang, Chaiyawat Buran, yang mudah menewaskan penjaga gol lawan.

Thailand terus mengasak kubu pertahanan Indonesia, dengan Chaiyawat bijak mencari ruang untuk melepaskan sepakan, namun gagal menyempurnakannya, sekaligus menyaksikan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0.

Ketinggalan dengan satu jaringan tidak menggugat semangat Indonesia, yang sebaliknya terus memberikan tentangan pada separuh masa kedua dengan melancarkan asakan demi asakan.

Usaha Indonesia akhirnya berjaya mengikat jaringan selepas menerima sepakan penalti pada minit ke-60 yang disempurnakan oleh David Maulana.

Thailand hampir untuk kembali di hadapan menerusi rembatan Phitiwat Sookjitthummakul dari luar kotak penalti, namun berjaya ditampan penjaga gol Indonesia, Kurniawan Kartika Ajie.

Ternyata aksi dalam separuh masa kedua memihak kepada Indonesia untuk meraih satu mata berharga daripada perlawanan ini.

"Saya berasakan perlawanan ini patut berpihak kepada Thailand jika bukan kerana sepakan penalti yang dihadiahkan kepada Indonesia," kata pengurus skuad B-22 Thailand, Watanya Wongopasi.

"Kami memang sudah menjangka ia perlawanan sukar berdepan pasukan pilihan. Ia tetap keputusan baik bagi saya dan kini kami fokus untuk aksi berdepan Filipina," kata jurulatih skuad B-22 Indonesia, Luis Milla.

Sementara itu, Vietnam melakar kemenangan selesa ke atas Timor Leste 4-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B.

Dua jaringan daripada Doan Van Hau dan satu lagi daripada Ha Duc Cinh meletakkan Vietnam mudah mendahului perlawanan 3-0 sebelum Cong Phuang melengkapkan kemenangan mereka dalam separuh masa kedua.