Skuad ekuestrian negara mendapat perkhabaran gembira apabila Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kembali menyertai skuad bagi acara kuda lasak dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Bernama melaporkan, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Low Beng Choo, mengesahkan perkara itu setelah menerima surat daripada Persatuan Ekuestrian Malaysia (EAM) bagi memaklumkan perkara tersebut.

Difahamkan, salah seorang daripada atlet dalam skuad itu mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa menarik diri.

"Pihak persatuan memaklumkan bahawa penggantian perlu dibuat dan hanya ada seorang lagi atlet, iaitu Sultan Mizan," kata Low seperti dipetik Bernama.

Sultan Mizan -- yang merupakan antara empat atlet terbaik negara yang berada dalam ranking Persekutuan Ekuestrian Antarabangsa (FEI) -- sebelum ini menarik diri ekoran kudanya tidak berada dalam keadaan baik untuk bertanding.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, melihat senario itu bakal menyuntik semangat baru dalam skuad kuda lasak.

Pada edisi 2001, skuad ekuestrian berjaya mengutip lima pingat emas.

Dalam Sukan SEA 2013 di Myanmar, skuad negara meraih tiga emas, iaitu dua dalam acara individu dan berpasukan kuda lasak 80km, dan satu emas dalam acara dressage individu.