Bekas ketua pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Wira Mazlan Ahmad, mencadangkan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) mewujudkan jawatankuasa eksekutif tetap seperti Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) bagi memilih acara temasya dua tahun lagi.

Tradisi SEAGF yang menyerahkan kuasa penuh kepada tuan rumah Sukan SEA memilih acara sudah tidak relevan.

Buktinya, Malaysia muncul juara keseluruhan dengan 145 emas, lebih dua kali ganda berbanding pencabar terdekat, Thailand.

Ia mengundang kritikan beberapa negara lain terutama mengenai soal pemilihan acara yang memberikan kelebihan besar kepada tuan rumah selain meminggirkan beberapa pemenang pingat emas Sukan Olimpik bagi saingan wanita.

Justeru, Mazlan berpendapat lebih baik SEAGF mengikut langkah IOC dalam pemilihan acara.

"SEAGF perlu mengikut IOC untuk menilai acara yang akan dipertandingkan di Sukan SEA, kos perbelanjaan untuk menganjurkan temasya ini dan beberapa acara yang memberikan kelebihan buat pasukan tuan rumah," kata Mazlan.

Malaysia muncul juara keseluruhan buat kali kedua selepas menjadi tuan rumah pada 2001.

Realitinya, Malaysia tidak pernah muncul juara di negara luar dan tugas itu pasti sukar di Manila 2019.

"Saya berpendapat sukan-sukan seperti karate, petanque, dan luncur air akan digugurkan oleh Filipina kerana mereka tidak mampu untuk meraih pingat emas."