Kapten pasukan polo air lelaki negara, Khoo Tiong Jin, menganggap sudah tiba masa untuk pencabar utama gentar dengan aksi yang bakal ditampilkan skuad negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur.

Sudah lali dilabel selaku pasukan bukan pilihan, Tiong Jin berasakan temasya kali ini mampu memadamkan tafsiran itu, khususnya daripada pasukan Singapura, Indonesia dan Thailand yang sering menjadi pencabar utama.

Malaysia, yang meraih tempat keempat di Singapura dua tahun lalu, tetap dengan azam untuk menamatkan kemarau pingat selama 12 tahun selepas kali terakhir meraih gangsa pada 2005 di Manila.

Tiong Jin berkata prestasi skuad negara bertambah baik selepas menjalani latihan dua minggu di China, bulan lalu.

"Kami tidak akan tahu tetapi pingat gangsa boleh dicapai saya rasa, bergantung kepada persembahan pada hari pertandingan.

"Semua orang tahu Singapura adalah pasukan terkuat, bagaimanapun kami tidak mengetahui sejauh mana kekuatan Indonesia, Thailand dan Filipina."

Jadual pertandingan:

15 Ogos: Indonesia lwn Malaysia

16 Ogos: Malaysia lwn Filipina

18 Ogos: Malaysia lwn Thailand

20 Ogos: Singapura lwn Malaysia

Venue: Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil