Atlet boling padang negara, Siti Zalina Ahmad, kini berpuas hati dengan keadaan permukaan padang di venue Sukan SEA Kuala Lumpur yang disifatkan lebih rata selepas dibaik pulih sejurus berakhirnya Kejohanan Pra-Sukan SEA, bulan lalu.

Skuad boling padang negara telah menguji venue pertandingan itu dan menyifatkan permukaan padang tiruan yang sedikit beralun menjadi cabaran kepada mereka.

Menjelang acara itu yang akan membuka tirai pada 22 Ogos nanti, penambahbaikan telah pun dibuat dan Zalina menganggap permukaan kali ini lebih rata dan memberi kelajuan yang lebih lancar.

Bagi Zalina, padang tiruan sememangnya memberi kelainan kepadanya kerana pada edisi 2011, ia diadakan di atas padang rumput.

"Kalau dibandingkan permukaan semasa Pra-Sukan SEA dan sekarang, keadaan padang banyak berubah dan ia satu petanda baik buat kami.

"Dari segi kemahiran permainan, saya berharap dapat buat yang lebih baik lagi," ujarnya selepas Malaysia menyasarkan empat pingat emas daripada lapan yang ditawarkan.

Menyifatkan nasib sering tidak menyebelahinya dalam temasya dwitahunan itu sejak tahun 2001 sehingga yang terakhir di Korat, Thailand, pada 2011, Zalina enggan lagi berputih mata meskipun bakal beraksi dalam acara beregu bersama pasangannya, Auni Fathia Khamis.

"Saya mengikut percaturan pihak pengurusan dan jurulatih.

"Meskipun sebelum ini sering beraksi dalam kategori perseorangan, kali ini saya diletakkan untuk beregu.

"Saya terima cabaran itu kerana ini salah satu daripada perancangan untuk mengutip pingat."