Selepas ketibaan skuad bola sepak Thailand, giliran Singapura pula tiba di Malaysia hari ini bagi membuat persiapan sebelum acara bola sepak bermula minggu depan.

Tumpuan sememangnya terarah kepada anak legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad, iaitu Irfan dan Ikhsan Fandi.

Mengakui teruja untuk membuat penampilan kedua di pentas Sukan SEA, Irfan bertekad membantu pasukannya menebus kehampaan dua tahun lalu apabila gagal melepasi saingan peringkat kumpulan.

"Kami berada di dalam kumpulan yang baik untuk cuba melepasi peringkat kumpulan tetapi kami tidak boleh memandang rendah kualiti pasukan lain dan cuba untuk memberikan yang terbaik," kata Irfan.

Dibimbing jurulatih dari Perancis, Richard Tardy, Singapura menampilkan barisan yang hampir sama ketika kempen kelayakan Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun bulan lalu dengan Adam Swandi juga dilihat sebagai taruhan utama pasukan kali ini.

Turut menjadi tumpuan hari ini adalah ketibaan skuad bola jaring Singapura.

Hadir dengan reputasi selaku juara bertahan, Singapura mula melancarkan perang psikologi apabila menganggap mereka pasukan 'underdog' dan Malaysia adalah pasukan pilihan bagi temasya kali ini.

"Ya, kami pemenang pingat emas dua tahun lalu tetapi Malaysia merupakan juara Asia dalam Kejohanan Bola Jaring Asia di Bangkok tahun lalu. Sasaran kami adalah cuba memberikan yang terbaik," kata jurulatih bola jaring Singapura,Yeo Mee Hong.

Skuad bola jaring Singapura tampak lebih mantap menerusi gandingan pemain lama dan baru diketuai Vanessa Lee, Nurul Baizura Abd Razak dan Charmaine Soh.

Malah, mereka juga melakukan persediaan yang cukup rapi di Belfast, Ireland Utara, Jun lalu, dan sudah pasti ia bagi misi mempertahankan pingat emas.