Walaupun dilihat sukar mencabar pingat emas dalam Sukan SEA 2017, skuad polo air wanita Singapura tidak memandang remeh cabaran Malaysia yang dijangka turun dengan semangat berbeza selaku tuan rumah di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Pasukan wanita negara akan bertemu juara bertahan, Thailand petang ini, diikuti Singapura (esok) dan Indonesia (Sabtu).

Singapura, yang merupakan pemenang pingat perak untuk kategori wanita dua tahun lalu, tidak menganggap pasukan negara antara yang terlemah dalam saingan temasya kali ini.

Penolong jurulatihnya, Lau Kum Weng, menyifatkan Malaysia selaku tuan rumah, sudah bersedia dan enggan terlepas pingat selepas sekadar menamatkan saingan di tangga keempat pada edisi dua tahun lalu.

"Sebagai tuan rumah, apa sahaja boleh berlaku. Jadi cabarannya adalah bagaimana mereka menghadapi saingan berdepan lawan," katanya.

Buat skuad Singapura pula yang dikecewakan dua tahun lalu oleh seteru utama, Thailand, pada aksi terakhir peringkat kumpulan, Kum Weng menjelaskan Singapura lebih bersedia kali ini.

Bakal bertemu Indonesia dalam perlawanan pembukaan petang ini, mereka begitu bersemangat tinggi mahu merampas kembali emas yang kali terakhir dimenangi di Palembang pada 2011.

"Berbanding dua tahun lalu, kami lebih bersedia. Kami meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas. Perkara paling penting adalah mereka memberikan yang terbaik ketika beraksi."