Kuala Lumpur akhirnya mengucapkan selamat tinggal kepada Sukan SEA selepas berlangsungnya upacara penutup di sebalik pencapaian 145 emas negara sebagai hadiah bagi meraikan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-60.

Selepas 17 hari Obor Sukan SEA Kuala Lumpur bernyala, ia akhirnya dipadamkan di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menandakan temasya sukan serantau itu melabuhkan tirainya.

Majlis yang berlangsung meriah dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan disusuli perarakan atlet Malaysia serta 11 negara bertanding.

Persembahan tarian dan nyanyian yang menonjolkan elemen pelbagai kaum sambil menerapkan warna-warni cahaya dan percikan bunga api berjaya memukau 100,000 hadirin.

Presiden Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF), Tan Sri Tunku Imran Tuanku, dalam ucapannya menyifatkan semua yang terlibat dalam temasya KL2017 sebagai pemenang.

"Nampaknya masanya sangat singkat sejak saya berdiri di sini di stadium megah ini untuk mengalu-alukan anda ke Sukan SEA ke-29. Sebagai presiden persekutuan saya berada di sini kali ini untuk mengucapkan perpisahan.

"Kita telah menyaksikan banyak persembahan cemerlang daripada atlet-atlet terbaik dari 11 negara di Asia Tenggara, menerusi 404 acara hebat dalam 38 sukan yang berlainan.

"Untuk semua yang menghargai dan meminati sukan, atlet anda semua adalah pemenang, samaada memenangi pingat ataupun sebaliknya. Kami tahu bahawa anda telah memberikan usaha terbaik untuk negara anda. Pulanglah dengan rasa bangga.

"Juga tahniah kepada TEAM Malaysia kerana memenangi 323 pingat yang luar biasa, termasuk 145 emas sensasi. Malaysia Boleh. Kita Juara," katanya.

Tambah Tunku Imran, pengiktirafan juga harus diberikan kepada semua persatuan sukan kebangsaan termasuk pengurus pasukan, jurulatih serta pegawai yang membantu atlet mempamerkan persembahan sebenar mereka.

Dalam ucapannya, beliau turut menghargai usaha Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Kuala Lumpur (MASOC) bagi memastikan kejayaan penganjuran temasya itu.

"Secara kolektif anda telah menyediakan satu temasya sukan untuk diingati. Tiada yang sempurna di dunia ini. Tetapi anda dapat mengatasi beberapa masalah sepanjang penganjuran bagi memberi hasil yang membanggakan."

Bendera Sukan SEA diturunkan dengan penuh hormat sebelum Tunku Imran menyerahkan kepada Presiden Majlis Olimpik Filipina, Jose Cojuangco Jr Cojuangco Jr, sebagai tanda selamat datang Sukan SEA Filipina dua tahun akan datang.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.

Majlis diteruskan dengan persembahan konsert yang menampilkan beberapa lagu dari zaman 50an sehingga sekarang, dengan artis yang terlibat, antaranya Dayang Nurfaizah, Amy Search, Salamiah Hassan, Sheila Majid dan Zainal Abidin.

Turut serta membuat persembahan adalah Datuk Aznil Nawawi dan Jason Lo, Faizal Tahir, altimet dan Ella.

Najib dalam ucapannya turut merakamkan penghargaan kepada atlet negara dan mengumumkan cuti peristiwa pada Isnin ini, disusuli laungan merdeka dan lagu Negaraku berkumandang pada detik 12 tengah malam.