Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Kassim, sukar untuk memilih pelari terakhir skuad 4x100m lelaki di antara Nixson Kennedy dan Muhammad Haiqal Hanafi selepas kedua-duanya sama pantas dalam sesi ujian di trek Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, semalam.

Institut Sukan Negara (ISN) akan melakukan analisis video untuk membantu Poad mengesan pergerakan dua pelari itu ketika melalui selekoh bagi mengisi slot pelari ketiga.

Sehubungan itu, jurulatih kelahiran Melaka itu memerlukan sedikit masa lagi untuk mengkaji data sebelum memilih sama ada Nixson atau Haiqal.

"Kalau kami tengok catatan masa, mereka lebih kurang sama. Daripada segi pertukaran baton, kami perlukan analisis daripada ISN. Tengok dahulu video larian mereka," kata Poad.

Sementara itu, Nixson berkata: "Berlari sebagai pelari pertama sesuai untuk saya sebab saya fikir saya berada dalam prestasi baik. Saya memang boleh sertai kuartet ini. Tiada masalah bagi saya."

Ketika ini, tiga pelari sudah sah mengisi slot utama, iaitu Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan Badrul Hisyam Abdul Manap.

Apa yang menarik, kuartet negara yang dibarisi Khairul, Jonathan, Badrul dan Haiqal berjaya memecahkan rekod kebangsaan dengan catatan 39.62s dalam Terbuka Vietnam, bulan lalu.

Begitupun, catatan itu menyaksikan Malaysia menghuni ranking ketiga Asia Tenggara selepas Indonesia dan Thailand.