Sukan SEA: Perry yakin peluang Malaysia ke atas Thailand, Filipina

Oleh Staff Writer 4 Ogos 2017 116
Sukan SEA: Perry yakin peluang Malaysia ke atas Thailand, Filipina
"Tidak mustahil  untuk kami tewaskan Filipina dan Thailand,"demikian keyakinan yang dilontarkan pemain bola keranjang kebangsaan, Perry Lim, menjelang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Di atas kertas, laluan sukar menanti skuad bimbingan Goh Cheng Huat dalam temasya KL2017, dengan pasukan gergasi Asia Tenggara, Filipina, serta Thailand dan Myanmar, menanti di peringkat kumpulan.

Begitupun Perrry -- pemain kelahiran Amerika Syarikat -- menganggap tiada yang mustahil seandainya rakan sepasukan mampu menyerlahkan semangat berpasukan yang tinggi, apatah lagi beraksi di laman sendiri.

"Saya rasa selagi kami bekerjasama sebagai satu pasukan, kami berpeluang untuk menang ke atas Thailand dan Filipina. Kami perlu bergerak sebagai satu pasukan," ujar Perry.

Dia turut berpuas hati dengan persiapan barisan negara, yang berjaya melakar tiga kemenangan daripada enam aksi persahabatan yang diadakan di New Zealand.

KL2017 bakal menjadi penampilan sulung Perry di medan Sukan SEA dan dia berharap kehadirannya mampu menamatkan kemarau pingat skuad lelaki negara sejak Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand.

"Jika nama saya termasuk dalam senarai akhir 12 pemain, sudah tentu saya berharap dapat membantu pasukan meraih pingat emas," tambah Perry.

Skuad bola keranjang negara sepatutnya mendapat undian yang lebih mudah sebagai kelebihan menjadi tuan rumah.

Bagaimanapun, masalah komunikasi di antara pihak Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (MASOC) dan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) menyebabkan Malaysia mendapat undian sukar.

Keluhan itu pernah disuarakan pengurus pasukan, Yakub Hussaini, Julai lalu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen