Nurul Farah Alisa Roslan optimis latihan selama enam bulan di Korea Selatan yang dilalui skuad taekwondo negara berjaya membentuk keyakinan untuk memastikan pingat dalam Sukan SEA kali ini.

Atlet kelahiran Kuala Lumpur itu akan bersaing dalam acara kyorogi kategori flyweight wanita bawah 57kg.

Bagi Nurul Farah, tempoh latihan di Korea Selatan turut memberi persediaan terbaik buat atlet negara menghadapi Sukan SEA kali ini, sekaligus memadamkan kekecewaan di Singapura dua tahun lalu apabila taekwondo gagal menyumbang pingat.

"Saya rasa untuk dapatkan medal itu boleh sebab tengok peserta negara lain, saya rasa ada peluang untuk saya. Saya rasa boleh buat.

"Saya banyak mendapat pendedahan dalam latihan di Korea Selatan, mereka sudah terkenal dengan taekwondo. Banyak saya belajar, termasuk kemahiran," katanya.

Nada keyakinan turut dilontarkan seorang lagi atlet negara, Rozaimi Rozali, yang akan bersaing dalam saingan flyweight bawah 68kg untuk kategori kyorogi.

Ketika temasya di Singapura dua tahun lalu, Rozaimi tersisih kerana kecederaan dan bertekad menebus kehampaan itu dengan meraih pingat dalam temasya kali ini.

"Insya-Allah ada peluang untuk saya. Peserta negara mana pun datang, saya akan memberikan yang terbaik," katanya.