"Terima kasih, tahniah dan inilah antara titik sejarah negara," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sebaik sahaja Malaysia mencapai sasaran 111 pingat emas dalam Sukan SEA Ke-29, malam tadi.

Beliau hadir ke penginapan kontinjen negara di Hotel Renaissance di ibu negara untuk turut serta meraikan pencapaian atlet Malaysia.

Selain menghargai pengorbanan semua atlet terlibat, beliau juga merakamkan penghargaan terhadap sokongan rakyat Malaysia sepanjang temasya berlangsung.

"Saya telah diberitahu bahawa kita sudah pun meraih 111 pingat emas, menepati sasaran yang telah ditetapkan untuk muncul juara keseluruhan," tambahnya.

Pingat emas Malaysia yang ke-111 hadir menerusi kayuhan emas Azizulhasni Awang dalam acara pecut di Velodrom Nasional Nilai, malam tadi.

Malaysia setakat ini mengumpul 130 emas yang mengesahkan kedudukan juara keseluruhan dalam temasya kali ini.

Najib turut membayangkan kemungkinan cuti umum sebagai simbolik di atas kejayaan kontinjen negara.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.