Skuad bola jaring negara meraih kemenangan kedua dalam kempen Sukan SEA Ke-29 selepas menewaskan Brunei 64-27 di Stadium Juara, Bukit Kiara, hari ini.

Malaysia tidak menerima tentangan sengit daripada Brunei selepas mudah mendahului 18-9 pada suku pertama.

Skuad bimbingan Tracy Robinson itu kelihatan selesa menguasai permainan dengan mempamerkan hantaran-hantaran kemas untuk mengungguli suku kedua 29-15.

Malaysia, yang dibarisi pemain tinggi lampai, semakin yakin dalam usaha memburu pingat emas selepas melebarkan jurang 29-15 pada suku ketiga, sebelum melengkapkan suku keempat 46-21.

Akhirnya, skuad negara yang juga pemegang pingat perak edisi 2015, melengkapkan kemenangan bergaya 64-27 selepas tamat suku terakhir.

"Kami sangat bersemangat tadi, aksi kami semakin meningkat. Seperti biasa, Brunei semakin meningkat tetapi kami dapat mengatasi mereka," kata pemain negara, L. Karishma.

"Setiap perlawanan, kami akan terus meningkat, kami saling memberi motivasi antara satu lama dan sentiasa mengadakan perbincangan."

Sementara itu, rakan sepasukan, Norashikin Kamal Zaman, merumuskan kemenangan itu adalah hasil daripada strategi yang diterapkan.

"Kami sudah lihat perlawanan mereka (Brunei lwan Thailand) semalam, jadi kami bermain mengikut strategi yang dirancangkan. Kami kuat, sudah berlatih bersama-sama selama setahun, cuma mahu olah semua itu di atas gelanggang."

"Kami akan kekal dengan strategi (menentang Singapura), esok baru kita tahu keputusannya. Kami tidak sabar untuk bertemu Singapura."

Kemenangan hari ini, bagaimanapun, gagal menandingi keputusan edisi di Singapura dua tahun lalu di mana Malaysia meraih kemenangan lebih besar 79-23 ke atas lawan itu di peringkat separuh akhir.

Untuk rekod, edisi 2015 menyaksikan Brunei meraih pingat gangsa berkongsi dengan Thailand dan tuan rumah, Singapura, meraih emas.