Lapangan Memanah Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil lulus pemeriksaan dan Pengarah Acara Memanah Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Sanguan Kosavinta, menganggap venue itu antara yang terbaik di rantau ini walaupun dibina dalam tempoh singkat.

Venue itu hanya memerlukan masa kurang seminggu untuk siap dibina, dengan ia memiliki semua kelengkapan, termasuk tolok angin dan papan mata elektronik.

Ia juga menepati piawaian badan induk, Persatuan Memanah Dunia, sekali gus sedia menganjurkan acara memanah Sukan SEA.

"Sekarang ini ia baik. Ia lapangan yang menarik dan berkelas dunia. Anda dapat lihat, semuanya lengkap dan sangat bagus.

"Walaupun ini merupakan kejohanan di pentas Asia Tenggara, kami mahu menunjukkan kepada dunia bahawa kami mampu menyediakan venue bertaraf dunia," kata Kosavinta.

Acara memanah akan membuka tirai Rabu ini dengan menawarkan dua pingat emas menerusi acara compound individu lelaki dan wanita.

Malaysia meletakkan harapan tinggi dalam compound individu wanita berdasarkan prestasi di Singapura, dua tahun lalu.

Secara keseluruhan, Malaysia menyasarkan empat emas, iaitu tiga dalam compound dan satu recurve.