Kredibiliti Malaysia sebagai juara keseluruhan Sukan SEA edisi ke-29 menerusi pungutan 145 pingat emas tetap dipersoal segelintir pihak.

Tetapi, statistik tetap memihak kontinjen negara jika sukan bertaraf Sukan Olimpik menjadi penanda aras.

Daripada 38 jenis sukan keseluruhan yang dipertandingkan dalam temasya KL2017, 29 daripadanya adalah sukan yang dipertandingkan di Olimpik.

Berdasarkan pungutan daripada 29 sukan ini, Malaysia tetap juara apabila merangkul 81 pingat emas.

Pencabar terdekat Thailand pula memenangi 50 pingat emas diikuti, Vietnam (45) dan Singapura (40) dan Indonesia (27).

"Terdapat beberapa dakwaan bahawa Malaysia telah menipu dan mengatur perlawanan untuk meraih kemenangan.

"Kami tidak melakukan untuk mendapatkan kemenangan tetapi kami telah melatih atlet Malaysia untuk mempamerkan aksi yang terbaik," kata Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tuanku Jaafar.

Tunku Imran yang juga Presiden Persekutuan Sukan SEA berpandangan Filipina akan terus memartabatkan temasya ini dengan mengutamakan kualiti sukan yang dipilih meskipun memanfaat kelebihan sebagai tuan rumah bagi edisi yang ke-30 nanti.

"Saya berharap negara yang menganjurkan Sukan SEA akan datang meneruskan usaha yang telah dilakukan oleh Malaysia dengan memastikan sukan-sukan yang dipertandingkan di pentas Olimpik menjadi keutamaan."