Malaysia di ambang untuk dimahkotakan sebagai juara keseluruhan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 setelah mengumpul 145 pingat emas keseluruhan, jumlah yang paling banyak dirangkul Malaysia dalam sejarah temasya berkenaan.

Ini merupakan kempen Sukan SEA paling bermakna buat kontinjen Malaysia, bukan sahaja dengan status penganjuran di laman sendiri, namun keupayaan barisan atlet negara melebihi sasaran 111 emas, termasuk kejayaan memperbaharui beberapa rekod kebangsaan dan kejohanan merupakan satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Ia juga jauh melepasi pungutan ketika Malaysia menganjurkan Sukan SEA Kuala Lumpur 2001, iaitu 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa.

"Kami melakukannya sebagai sebuah negara. Kami membawa kejayaan kepada rakyat Malaysia," ujar atlet menembak negara, Alia Syazana Azahari .

"Ini Sukan SEA terbaik saya kerana ia diadakan di Malaysia dan kami berjaya meraih emas melebihi sasaran 111 pingat emas," tambah Farah Ann Abdul Hadi, atlet gimnastik negara.

Dengan kejayaan cemerlang diraih barisan atlet Malaysia dalam temasya KL2017, ia juga memberi petanda bahawa Malaysia mempunyai banyak prospek yang hebat menjelang tahun 2018 yang menyajikan dua temasya penting, iaitu Sukan Komanwel dan Sukan Asia.

"Apa yang kami lakukan ketika persiapan dalam fasa pertama, kedua dan ketiga, inilah hasilnya apabila berjaya meraih lebih daripada sasaran pingat," kata peninju negara, Muhammad Fuad Redzuan.

"Memang semua atlet mempamerkan aksi terbaik sehingga kita berjaya raih 140 pingat emas dan inilah catatan terbaik dalam sejarah Sukan SEA," tambah Mohd Ezzuan Nasir Khan, penembak negara.