Skuad hoki padang Indonesia mengakui belum dapat menandingi pasukan negara dalam Sukan SEA Kuala Lumpur sambil menyifatkan Malaysia pasukan pilihan untuk merangkul pingat emas acara itu.

Menurut pengurusnya, Deny Fahruddin, Indonesia berdepan cabaran untuk mempersiapkan barisan terbaik dalam tempoh singkat gara-gara kekangan kewangan.

Jelasnya, pasukan republik itu terpaksa mencari perbelanjaan sendiri ke Sukan SEA berbanding skuad hoki dalam dewan yang mendapat peruntukan daripada kerajaan Indonesia.

Malah, skuad hoki dalam dewan mereka sudah mengadakan persiapan rapi selama enam bulan sedangkan pasukan hoki padang hanya mula berkumpul selepas Aidilftri lalu.

Namun, ujarnya, situasi itu tidak akan dijadikan halangan buat pemain-pemainnya memberikan yang terbaik dalam mencapai sasaran kedudukan podium di Kuala Lumpur.

“Cabaran terdekat hanya Thailand dan Singapura. Sekiranya menang ke atas salah satu pasukan itu, saya yakin kami mampu mendapat tempat kedua atau ketiga.

“Pingat emas sudah tentu akan menjadi milik Malaysia,” kata Deny.

Indonesia tiba di Kuala Terengganu, kelmarin, sebagai lokasi latihan terakhir mereka sebelum acara itu membuka tirai pada 21 Ogos.

Status Terengganu selaku kuasa hoki di Malaysia menjadi tarikan republik itu ke bandar ini untuk mengadakan perlawanan pemanas badan bermula pada Ahad ini.

Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, berkata aksi itu akan melibatkan Indonesia, Pilihan Pasukan Hoki Terengganu (THT) dan skuad Sukan Malaysia (Sukma) Terengganu.

Kedatangan Indonesia ke Kuala Terengganu juga, menurutnya, disambut dengan berbesar hati serta memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak.

“Indonesia telah menjemput THT sebagai salah satu pasukan untuk menyertai kejohanan antarabangsa di Jakarta, November ini.

“Terengganu berbesar hati menjadi sebahagian daripada pembangunan hoki memandangkan sukan ini masih baharu di Indonesia,” tambah Wan Ahmad Nizam ketika ditemui semasa majlis makan malam meraikan ketibaan skuad hoki padang Indonesia, malam tadi.

Turut hadir ialah Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu.