Penyerang skuad bola sepak wanita negara, Nur Haniza Saarani, membawa semangat abangnya, bekas pemain kebangsaan, Fakri Saarani, menjelang saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, yang akan membuka tirai kurang lapan hari lagi.

Skuad wanita negara berdepan cabaran sukar apabila perlu menghadapi Thailand, Vietnam dan Myanmar yang telah pun membuktikan kemampuan di peringkat Asia Tenggara.

Walaupun bakal turun selaku pasukan bukan pilihan, Haniza bertuah kerana memiliki seorang abang yang menjadi pendorong terbaik.

Fakri, yang pernah menyarung jersi kebangsaan, banyak mendorong Haniza untuk tampil lebih kuat dalam pasukan, apatah lagi bakal membuat penampilan sulung dalam Sukan SEA.

"Abang banyak memberi sokongan. Saya tengok dia, saya mahu menjadi seperti dia. Dengan adanya idola sebagai abang sendiri, saya berasa bertuah kerana adanya sokongan daripada dia dan ahli keluarga," ujar Haniza.

Haniza turut mengakui perlu lebih tajam di hadapan gawang lawan tatkala skuad negara ketika ini berdepan isu ketumpulan penyudah.

"Dalam aksi sebelum ini, bahagian pertahanan dan jentera tengah beraksi dengan baik tetapi barisan penyerang perlu melakukan penyudah dengan lebih baik," tambah Haniza.