Teka-teki mengenai penganjuran Sukan SEA ke-30 yang sepatutnya dianjurkan oleh Filipina hanya akan diketahui dalam Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang akan dipengerusikan oleh Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar, esok.

Ini kerana Filipina meminta tempoh sehingga hari ini untuk berbincang dengan kerajaan negara itu sebelum memutuskan penganjurannya untuk edisi akan datang.

Datuk Seri Norza Zakaria yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SEAGF hari ini memberitahu Nadi Arena: "Antara perkara penting yang dibincangkan adalah status terkini kedudukan Filipina sebagai tuan rumah untuk Sukan SEA akan datang.

"Mereka memberitahu keputusan akhir akan dikemukakan dalam mesyuarat Majlis SEAGF pagi esok."

Menurutnya lagi, tiga lagi jawatankuasa turut membincangkan beberapa isu mengenai KL2017.

"Kami telah mendengar isu-isu mengenai KL2017, antaranya adalah jawatankuasa sukan dan undang-undang, jawatankuasa wanita dan sukan serta jawatankuasa perubatan.

"Antara perkara yang dibincangkan adalah penubuhan jawatankuasa timbangtara yang terdiri daripada enam ahli panel yang akan mengadili kes-kes yang timbul dalam KL2017."