Kapten skuad bola keranjang 1989, Ching Eng Hing, mencabar pasukan lelaki negara menamatkan penantian 28 tahun untuk meraih pingat emas Sukan SEA walaupun juara bertahan, Filipina, menurunkan ramai pemain profesional.

Malaysia berjaya mengatasi cabaran pemain profesional Filipina dalam final 1989.

Ia merupakan emas tunggal untuk skuad bola keranjang lelaki dalam sejarah Sukan SEA sejak acara itu dipertandingkan pada 1977.

Lebih menarik, ia kali pertama Filipina gagal meraih emas, sekaligus menjadi cabaran buat pemain lelaki negara.

"Filipina memiliki ramai pemain bertaraf profesional dan kali ini mereka akan menurunkan barisan terbaik tetapi Malaysia akan turun memberikan yang terbaik," kata Eng Hing.

Bekas pemain 1989 dijemput menyaksikan majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada skuad lelaki dan wanita negara di Stadium MABA, Kuala Lumpur, hari ini.

Cabaran sukar untuk skuad lelaki selepas kali terakhir meraih pingat menerusi gangsa 2007 sementara wanita akan turun selaku juara bertahan.

"Kehadiran bekas-bekas pemain negara yang meraih pingat emas di Sukan SEA 1989 melonjakkan semangat kami untuk mengulangi kejayaan mereka dalam edisi kali ini," kata pemain bola keranjang lelaki negara, Perry Lee Lim.

"Dengan kelebihan beraksi di laman sendiri, Malaysia mampu mempamerkan persembahan terbaik dengan hadirnya penyokong di stadium nanti," kata kapten skuad bola keranjang wanita, Nur Izzati Yaakob.

Bagi skuad bola keranjang lelaki pula, selepas sekadar beraksi dalam peringkat kumpulan dua tahun lalu, kelebihan selaku tuan rumah pasti mahu digunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki persembahan.

Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama Myanmar, Thailand dan juga juara bertahan, Filipina.