Dengan lebih 10 emas berjaya dituai atlet kelahiran Sarawak dalam Sukan Sea Kuala Lumpur 2017, Kerajaan Negeri Sarawak akan mempertimbangkan 'durian runtuh' kepada mereka.

Menteri Muda Belia dan Sukan Negeri, Snowdan Lawan, berkata bentuk insentif yang ditawarkan itu bagaimanapun belum diputuskan oleh kementeriannya.

"Ia akan ditentukan setelah insentif daripada kerajaan pusat diumumkan.

"Kami tidak mahu mendahului kerajaan pusat, sebaliknya ganjaran kami harus tidak membayangi pemberian pusat," katanya ketika ditemui, sebentar tadi.

Pun begitu kata Lawan, kejayaan wira negara kelahiran Sarawak dalam temasya itu akan diraikan dalam Majlis Anugerah Sukan Negeri Sarawak 2016 pada minggu hadapan.

"Kami berharap kejayaan mereka akan menjadi insipirasi dan membakar semangat atlet muda negeri ini," tambahnya.

Seramai 42 atlet Bumi Kenyalang memikul amanah negara untuk 18 jenis dalam temasya itu, dan malam ini Malaysia telah menoktahkan kejuaraan keseluruhan dengan merangkul 111 pingat emas.

Antara atlet emas kelahiran Sarawak yang cemerlang dengan menuai emas termasuklah Pendelela Rinong Pamg (terjun, dua emas), Welson Sim Wee Sheng (renang, dua emas) Jackie Wong (olahraga, satu emas), Grace Wong (olahraga, satu emas), Diana Bong Siong Lin (wushu, satu emas) dan Loh Jaek Chang (wushu, satu emas).